suria

Warga Belanda Tipu Yayasan Diraja Sultan Mizan Mohon Dapatkan Pasport

KUALA LUMPUR: Seorang warga Belanda yang didakwa menipu Yayasan Diraja Sultan Mizan dengan menggunakan dokumen palsu dikatakan bernilai 150 juta Euro (RM633 juta) berhasrat mendapatkan pasportnya kerana ingin ke luar negara.

Permohonan Zvonko Berdik Albert, 65, dikemukakan menerusi peguamnya, Karpal Singh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berikutan tertuduh akan berlepas ke Kemboja bagi urusan perniagaan Sabtu ini.

Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah tidak membantah permohonan itu, sebaliknya meminta diberikan masa untuk meneliti dokumen berkaitan, dan sekiranya perlu menjawab afidavit tertuduh.

Hakim SM Komathy Suppiah menetapkan permohonan didengar petang esok.

Zvonko yang mendakwa dirinya seorang presiden sebuah syarikat di Kenada dituduh secara curang menggunakan dokumen Bill of Exchange Bedford, International Financial Group yang diketahuinya palsu sebagai cagaran untuk tujuan derma kepada yayasan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 12 tengah hari, 16 April lalu di Istana Terengganu di Jalan Kia Peng, Dang Wangi, di sini.

Zvonko didakwa di mahkamah kali pertama pada 4 Mei lalu dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh kini dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin warga tempatan sementara menunggu perbicaraan yang akan bermula 16 Disember depan.

Artikel Lain