suria

Tee Yong Dilantik Kerana Kebolehan Sendiri

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata pelantikan Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani dibuat atas keupayaan dan kelayakan yang ada pada pemimpin muda berkenaan.

Najib berkata pelantikan tersebut tidak sepatutnya dijadikan isu kerana beliau sendiri telah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun dan Timbalan Menteri ketika usianya 25 tahun.

"Umur bukannya penghalang. Apa yang penting ialah keupayaan dan dia sangat layak. Saya sangat yakin dia mampu berkhidmat sebagai seorang Timbalan Menteri dengan baik," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjaun mesra di Taman Sea Park di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Tee Yong yang juga anak kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam rombakan Kabinet yang dilakukannya semalam.

Tee Yong dan Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) antara dua muka baru daripada MCA yang dilantik menganggotai Jemaah Menteri.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Najib berkata, keputusan melantik Tee Yong dibuat setelah Kabinet meneliti senarai nama yang dikemukakan kepadanya.

"Kabinet telah menyenarai pendek beberapa nama. Saya sendiri telah meneliti senarai nama berkenaan.

"Tidak kisah sama ada ayah dia adalah Presiden (MCA) kerana apa yang lebih penting ialah dia mampu berkhidmat sebagai seorang Timbalan Menteri dengan baik," katanya. Beliau berharap Timbalan Menteri yang baru dilantik itu akan melaksanakan tugasnya dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi terhadap tugas yang telah diamanahkan.

"Mereka mesti berjanji akan menyokong inisiatif yang dikemukakan oleh kerajaan disamping menarik kembali kenyakinan rakyat supaya menyokong kerajaan," katanya.

Sementara itu, Najib menyifatkan penambahan bilangan timbalan menteri bagi menampung bebanan tugas yang dihadapi oleh kementerian tertentu yang memerlukan tumpuan yang lebih.

"Beban tugas banyak sebab ada kelompok-kelompok yang perlu diberikan perhatian secara khusus. Dengan adanya tambahan timbalan menteri ini akan memudahkan tugas dan kerja yang boleh dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan lain , Najib juga menolak dakwaan yang menyatakan bahawa bilangan Senator yang menyertai Kabinet lebih ramai berbanding anggota Dewan Rakyat.

"Lebih ramai anggota yang dipilih melalui Dewan Rakyat sebenarnya daripada senator," katanya.

Mengenai pelawaan pembangkang untuk mengadakan rundingan meja bulat bagi membincangkan isu serangan tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Isnin lepas, Perdana Menteri berkata beliau tidak akan menyertai rundingan itu.

Sebaliknya, beliau sendiri akan membentangkan usul tersebut di Parlimen, Isnin ini untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melakukan tinjauan mesra di sekitar kawasan Taman Sea Park dan minum petang di Restoran Nasi Kandar Pelita, bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan serta pemimpin masyarakat kawasan itu.

Antara menu yang dihidangkan pada jamuan minum petang itu, mi goreng mamak, roti canai, rojak mi, teh tarik dan air kelapa muda.

Artikel Lain