suria

Saya Tidak Cari Makan Dengan Saman - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali memberitahu, beliau tidak tamak sehingga ‘mencari makan’ dengan memfailkan saman di mahkamah, seperti yang dilakukannya terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa)itu menambah, saman RM2 juta terhadap Saifuddin tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan saman individu lain yang boleh mencapai RM10 juta.

“Saya boleh memfailkan saman (dalam jumlah yang besar) tetapi tiada gunanya kerana ia akan menjadi gimik politik. RM2 juta okaylah. Saya tidak tamak,” katanya semasa ditemui di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ibrahim juga berkata, tindakan memfailkan saman merupakan sesuatu yang baru memandangkan beliau tidak pernah berbuat demikian sejak menyertai politik 25 tahun lalu.

“Saya seorang gentleman. Tetapi perkara ini melampau. Mereka cuba memusnahkan reputasi saya di mata orang kampung. Mereka perlu dihentikan.

“Apa sahaja tuduhan perlulah benar. Jika mereka mahu menuduh seseorang, mereka perlu selidik dahulu. Jika benar, ia tidak mengapa,” katanya.

Ibrahim memfailkan saman terhadap Saifuddin kerana mendakwa Ahli Parlimen Machang itu mengeluarkan kenyataan mengaitkan beliau dengan syarikat perjudian milik Tan Sri Vincent Tan.

Saman difailkan menerusi peguam Rajindar Singh Veriah pada jam 2 petang hari ini.

Beliau juga memaklumkan akan mengambil tindakan serupa terhadap Suara Keadilan yang menyiarkan kenyataan itu pada edisi minggu 27 April ke 4 Mei lalu dan saman dijangkakan difailkan esok.

Artikel Lain