suria

Rombakan Kabinet: Apa Maknanya Bagi MCA

KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menggambarkan kesedarannya mengenai perubahan kepimpinan dalam MCA dua bulan lalu dan beliau berhasrat untuk meletakkannya dalam perspektif yang betul bagi masyarakat Cina.

Sepintas lalu, nampaknya MCA di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah berjaya melobi bagi parti itu untuk dua portfolio strategik yang signifikan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Naib Presiden MCA Gan Peng Sieu berkata parti itu telah meminta dua portfolio yang strategik ini sejak beberapa lama kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat Cina.

Biasanya, MCA diperuntukkan kedudukan Timbalan Menteri Dalam Negeri tetapi selepas pilihan raya umum 2004, ia digantikan dengan portfolio dalam Kementerian Pelancongan dan kemudiannya Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

"Kedua-dua portfolio ini sangat signifikan kepada MCA. Ia menggambarkan simbol kepercayaan dan keyakinan Perdana Menteri dan pimpinan tertinggi B N(Barisan Nasional) kepada MCA," katanya sambil menambah bahawa Kementerian Dalam Negeri berurusan dengan sebilangan isu yang dekat dengan masyarakat Cina seperti keselamatan, kad pengenalan (MyKad) dan warganegara.

"Ramai orang Cina juga terbabit dalam perladangan, perikanan, penternakan dan syarikat perladangan kecil. Kadang-kadang terdapat isu yang perlu diselesaikan dengan mereka di dalam masyarakat Cina, yang merupakan penggiat utama di dalam industri asas tani."

Para anggota MCA gembira bahawa Najib masih menaruh kepercayaan kepada MCA bagi membina semula sokongan daripada masyarakat Cina seperti yang dapat dilihat dalam rombakan terbaru walaupun sokongan kaum Cina kepada BN merosot sejak pilihan raya umum Mac 2008 dan beberapa pilihan raya kecil berikutnya.

"Perkara penting sekarang bagi kepimpinan parti dan mereka yang dilantik (sebagai timbalan menteri dan menteri) ialah untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik dan (seterusnya memberi undi)," kata seorang pemimpin akar umbi dari Selangor.

Bagaimanapun, sesetengah anggota veteran parti mengingatkan bahawa dengan mempunyai kedudukan yang signifikan dalam kerajaan merupakan satu perkara dan ia tidak bermakna bahawa MCA boleh secara automatik mendapatkan semula sokongan kerana prestasi menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri akan dinilai terlebih dahulu sebelum sokongan menjadi kuat.

"Sebagai contoh, dalam pertanian, bolehkah kamu membantu petani yang tidak bertanah mendapat tanah atau membantu nelayan mendapat lesen?" soal pemimpin veteran MCA Datuk Yap Pian Hon.

Penganalisis politik yang lain percaya bahawa MCA masih mempunyai tanggungjawab yang berat untuk mendapatkan semula sokongan daripada masyarakat jika BN bersedia mengkaji semula sesetengah polisi yang dianggap tidak menguntungkan.

"Pada keseluruhannya, ia bukan individu tetapi lebih kepada dasar kerajaan dan pelaksanaannya di mana orang ramai akan menilai sama ada ia selaras dengan semangat 1Malaysia atau tidak," kata penganalisis politik Prof James Chin.

Keseluruhannya, Chin berkata Dr Chua telah melakukan perkara yang betul dengan meletakkan parti pada landasan yang betul dan menggabungkan jenteranya untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Sama ada ia berjaya atau tidak, kita akan tahu menjelang pilihan raya umum. Dalam keadaan sekarang, ia masih terlalu awal. Kamu perlu memberi masa kepadanya untuk menyesuaikannya," katanya.

Tetapi, bagi pengkritik Dr Chua, mereka mendakwa bahawa beliau telah mengingkari janji awalnya untuk menyatupadukan pelbagai puak dalam parti dengan tidak menyingkirkan pemimpin puak yang utama atau mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan saingan politknya dari kedudukan kerajaan.

Kenyataannya, mereka juga tidak puas hati, bahawa beliau menamakan anaknya, Tee Yong, 33, menjadi timbalan menteri.

Bagaimanapun, Dr Chua mempertahankan tindakannya.

Beliau berkata MCA mempunyai pilihan yang sedikit kerana ia hanya mempunyai beberapa wakil rakyat untuk dipilih dan Tee Yong merupakan salah seorang daripada dua Anggota Parlimen yang tidak mempunyai atau tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sebelum ini.

"Kami mempunyai 15 Anggota Parlimen. Daripada jumlah itu, 13 sama ada memegang jawatan atau pernah memegang jawatan dalam kerajaan sebelum ini. Jadi, saya kemukakan baki dua nama Tee Yong (Ahli Parlimen Labis) dan Tan Ah Eng (Gelang Patah) kepada Perdana Menteri. Itu untuk jawapan awak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Najib, ketika ditanya mengenai pelantikan Tee Yong, berkata beliau sendiri menjadi timbalan menteri semasa berusia 25 tahun dan Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun.

"Usia bukan halangan. Apa yang penting ialah kemampuan; dia memang layak. Saya yakin dengan kemampuannya untuk menjalankan tugas sebagai seorang timbalan menteri," katanya.

Seorang anggota Jawatankuasa Pusat (CC), Datuk Chong Itt Chew, juga mempertahankan tindakan itu dengan berkata Dr Chua sendiri tidak memegang sebarang jawatan Kabinet dan anaknya hanya dilantik untuk jawatan timbalan menteri.

"Pada masa lepas, bahkan kami lebih jelas dengan duluan di mana presiden parti melantik abangnya menjadi setiausaha agung parti dan kemudiannya diberikan satu kedudukan sebagai menteri," kata Chong, yang juga pengerusi MCA Kedah.

Bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting telah melantik abangnya Datuk Seri Ong Ka Chuan, menjadi setiausaha agung parti dan kemudian menamakannya untuk satu kedudukan sebagai menteri selepas memutuskan untuk tidak menamakan dirinya bagi satu jawatan Kabinet selepas prestasi buruk parti pada pilihan raya umum 2008.

Bagi para pemerhati politik, mereka berkata bahawa Dr Chua telah melakukan satu tindakan strategik bagi menangani politik dalaman secara berkesan dengan menyingkirkan beberapa pemimpin utama seperti saingannya dan bekas Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat (digugurkan sebagai Menteri Pengangkutan), dan Datuk Wee Jeck Seng (digugurkan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan), yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Ka Ting.

"Pada dasarnya Dr Chua telah meletakkan asas untuk pilihan raya parti akan datang pada Oktober tahun depan. Dengan tidak memberikan sesetengah orang sebarang kedudukan dalam kerajaan, ia akan menyekat mereka daripada memberikan sebarang cabaran yang serius kepada kepimpinannya," kata seorang pemerhati. - BERNAMA

Artikel Lain