suria

Lelaki Empat Anak Dipenjara, Sebat Kerana Merompak

PETALING JAYA: Seorang bapa kepada empat orang anak dikenakan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan rompakan secara berkumpulan sembilan tahun lepas.

Bagaimanapun, Hakim Balqis Aini Mohd Ali membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu terhadap Zulkipli Mohamed Ismail, 41, dan membenarkan dia diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin serta memerintahkan peguam Salim Bashir yang mewakili Zulkipli, memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari.

Hakim Balqis berkata bahawa setelah mendengar rayuan tertuduh dan hujahan balas pihak pendakwaan, mahkamah membuat keputusan dengan mengambil kira faktor institusi kekeluargaan.

"Hukuman yang bakal diterima oleh tertuduh akan mengubah keadaan keluarganya," katanya.

Hakim Balqis berkata, usia tertuduh semasa kejadian iaitu 32 tahun turut diambil kira dan mahkamah percaya perbicaraan yang berlangsung selama lapan tahun menghantuinya.

Katanya walaupun kesalahan itu adalah kesalahan pertama tertuduh, namun faktor kepentingan awam perlu diutamakan.

Zulkipli, yang juga pengusaha restoran di Kapar, Klang, bersama-sama lima yang lain yang telah bebas, didakwa dengan niat bersama melakukan rompakan bersenjatakan sebilah parang dan empat bilah pisau terhadap Boon Nyak Boon, 68, dengan merompak wang tunai RM200, sebentuk cincin emas dan seutas jam tangan, di di Pusat Snooker, di Jalan Kenari 23, Taman Bukit Kuchai, Puchong pada 7.05 malam 19 November 2001.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan. - BERNAMA

Artikel Lain