suria

Kes Suami Bunuh Isteri Dipindah Ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Ampang di sini membenarkan kes seorang pengurus syarikat swasta, Mohafri Mohamed yang menghadapi pertuduhan membunuh isterinya akhir tahun lalu, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Majistret Wan Karimah Wan Md Ab Ghani membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi yang mengemukakan surat izin pendakwaan hari ini.

Bagaimanapun Wan Karimah tidak menetapkan sebarang tarikh terhadap kes itu.

Pada 18 Jan lalu, Mohafri, 37, didakwa di mahkamah yang sama, terhadap pertuduhan membunuh Fazlina Ahmad, 38, di rumah nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, di sini pada 30 Disember 2009 antara pukul 5 pagi hingga 10.30 pagi.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mohafri diwakili peguam Zainal Ithnin. - BERNAMA

Artikel Lain