suria

Ibrahim Ali Saman Saifuddin Nasution RM2 Juta Kerana Memfitnah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan, Datuk Ibrahim Ali hari ini mengemukakan saman berjumlah RM2 juta ke atas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail kerana didakwa memfitnah beliau.

Saman tersebut difailkan melalui Tetuan Rajindar Singh di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menerusi pernyataan tuntutan, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa Saifuddin secara palsu dan dengan berniat jahat di Suara Keadilan edisi minggu 27 April hingga 4 Mei lalu menyebarkan perkataan yang membabitkannya dengan perniagaan perjudian Tan Sri Vinsent Tan termasuk memegang saham judi di dalam syarikat itu.

Ibrahim yang menafikan dakwaan Saifuddin itu mendakwa, perkataan-perkataan tersebut disebarkan dengan niat jahat untuk mencemarkan nama dan reputasi baiknya dan perkataan itu telah menyebabkan beliau dihina, disingkirkan dan diabaikan orang awam.

Katanya, pada 4 Mei lalu, melalui surat peguam cara, beliau telah menuntut permohonan maaf dan ganti rugi daripada Saifuddin tetapi tiada sebarang jawapan.

Selain ganti rugi am berjumlah RM2 juta, beliau turut menuntut satu injunksi melarang Anggota Parlimen Machang, Kelantan itu dengan sendiri atau melalui pekerja dan/atau ejen beliau daripada mengulangi perkataan yang sama terhadapnya.

Ibrahim memberitahu pemberita di luar mahkamah, peguamnya akan memfailkan saman ke atas akhbar Suara Keadilan esok atas alasan yang sama (fitnah). - BERNAMA

Artikel Lain