suria

Ibrahim Ali Saman Saifuddin Nasution RM2 Juta

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali memfailkan saman fitnah bernilai RM2 juta terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail kerana mengeluarkan kenyataan mengaitkan beliau dengan syarikat perjudian milik ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan.

Ibrahim selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, pukul 2 petang tadi, menerusi peguam Rajindar Singh Veriah kerana mendakwa kenyataan defendan, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang itu berniat jahat dan palsu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu mendakwa, defendan menyebarkan kenyataan itu dalam Suara Keadilan edisi minggu 27 April ke 4 Mei lalu bahawa plaintif memegang atau mempunyai saham judi dalam syarikat itu.

Plaintif mendakwa kenyataan itu membawa maksud beliau seorang penipu dan disebarkan dengan niat untuk mencemarkan nama serta reputasinya di samping mengakibatkan beliau dihina, disingkirkan dan diabaikan orang awam.

Plaintif juga mendakwa telah menuntut supaya defendan meminta maaf pada 4 Mei tetapi tidak dijawab.

Oleh demikian, plaintif memohon ganti rugi am RM2 juta, kos dan faedah pada kadar lapan peratus setahun sehingga tarikh pembayaran.

Plaintif juga memohon injunksi melarang defendan atau ejennya daripada mengulangi atau menyebarkan kenyataan itu dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai.

Sementara itu, semasa ditemui, Ibrahim memberitahu beliau akan memfailkan saman terhadap Suara Keadilan esok, selepas dimaklumkan peguam yang terlibat tidak dapat mencari nama editor akhbar milik pembangkang itu.

Artikel Lain