suria

Warga Emas Ditahan Kerana Disyaki Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berusia dalam lingkungan 60-an yang disyaki mengedar dadah jenis Eramin 5, ditahan di hadapan sebuah kedai di Jalan Sungai Besi pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, hasil maklumat orang ramai, polis berjaya menahan lelaki itu kira-kira 6 petang ketika suspek berjalan kaki sambil membimbit beg yang berisi dadah itu.

"Dalam beg itu kita telah menjumpai 2,000 biji pil Eramin 5 dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah kira-kira RM20,000," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek itu dikehendaki kerana melakukan rompak dan samun di Behrang dan Nilai, Negeri Sembilan.

"Suspek juga pernah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor pada tahun 2006," katanya.

Suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula Ahad lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 ADB 1952. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain