suria

SC Pinda Peraturan Dana Unit Amanah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meminda Garis Panduan mengenai Dana Unit Amanah bagi memudahkan struktur pelbagai kelas, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan di sini, SC berkata langkah itu bertujuan memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada pelabur dan pada masa yang sama membantu pertumbuhan penawaran rentas sempadan unit amanah Malaysia.

Menerusi pindaan itu, satu dana unit amanah tunggal kini berupaya menawarkan pelbagai kelas unit dalam satu kumpulan pelaburan, dengan setiap kelas unit mempunyai ciri berlainan seperti yuran dan caj yang dikenakan serta mata wang yang dipilih.

Oleh yang demikian, SC berkata para pelabur boleh memilih kelas terbaik yang sesuai dengan pilihan dan objektif pelaburan masing-masing.

Pindaan itu juga bertujuan memudahkan peningkatan penawaran rentas sempadan bagi dana unit amanah Malaysia menerusi Perjanjian Perakuan Bersama yang ditandatangani oleh SC dan Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai dan Hong Kong.

Para pelabur yang memegang mata wang asing kini boleh melabur terus ke dalam kelas unit yang didenominasi mata wang asing itu tanpa menukarkan jumlah pelaburan masing-masing ke dalam ringgit Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain