suria

Malaysia Kutuk Keras Serangan Israel Ke Atas Konvoi Bantuan Kemanusiaan - Najib

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang menyerang kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi teguran keras terhadap rejim itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan mengusulkan perkara tersebut kepada peringkat tertinggi Majlis Keselamatan PBB supaya perkara ini dibincangkan dalam masa terdekat. "Saya atas nama kerajaan dan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv terhadap konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza," katanya kepada wartawan selepas melancarkan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B) di sini semalam.

Beliau juga berkata "seluruh dunia harus mengutuk dan mengecam tindakan rakus rejim itu".

"Saya harap insiden ini akan membawa kepada satu tindakan yang boleh membawa kepada teguran keras terhadap Israel," katanya.

Najib berkata serangan ini juga menunjukkan rejim Tel Aviv tidak menghormati langsung undang-undang antarabangsa dan menggunakan kuasa mereka sesuka hati tanpa sebarang pertimbangan sama ada tindakan mereka akan membawa kepada kehilangan nyawa orang-orang yang tidak berdosa.

Perdana Menteri berkata pada masa ini beliau juga sedang menunggu butir dan maklumat sahih mengenai nasib rakyat Malaysia yang turut serta dalam konvoi itu.

Salah sebuah daripada sembilan buah kapal kecil konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang dianjurkan oleh kumpulan pro-Palestin dan pertubuhan hak asasi manusia Turki iaitu Mavi Marmara telah diserang oleh tentera Israel hari ini berdekatan Gaza. Dua rakyat Malaysia, iaitu seorang wartawan dan seorang jurukamera dari Astro Awani, dilaporkan berada di atas kapal itu dan nasib mereka masih tidak diketahui.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya pada majlis itu menyarankan Alumni 4B supaya memainkan peranan sebagai rangkaian politik dan sosial untuk menerangkan kepada rakyat mengenai usaha-usaha yang sedang dan akan dijalankan oleh kerajaan.

Katanya, ini perlu untuk memastikan supaya rakyat faham akan agenda nasional, serta keperluan perubahan ini bagi membolehkan Malaysia menghadapi cabaran globalisasi serta mencapai status negara maju.

"Saya berharap melalui Alumni ini akan wujud political dan social networking yang berkesan yang memberi penjelasan kepada rakyat tentang apa yang perlu dilakukan. "Proses globalisasi tidak boleh dielakkan. Sama ada baik atau sebaliknya, ia bergantung kepada bagaimana kita memposisikan negara kita dalam konteks menangani globalisasi," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga menpunyai iltizam yang kuat untuk merealisasikan matlamat menjadi negara maju yang berpotensi tinggi.

Pada majlis itu Najib dianugerahankan darjah "Bapa Pembangunan Belia". -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain