suria

Kemudahan Kad Kredit, Debit Bayar Duti Kastam Di KLIA, LCCT

SEPANG: Para penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) boleh membayar duti kastam secara e-Payment iaitu dengan menggunakan kad kredit dan kad debit, berkuatkuasa hari ini.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Ibrahim Jaapar berkata, buat permulaan had pembayaran yang dibenarkan untuk kedua-dua kad adalah tidak melebihi RM2,000 bagi setiap transaksi.

"Kaedah itu dapat memberi pilihan kepada penumpang, sama ada menjelaskan bayaran duti kastam menggunakan E-payment atau wang tunai. Ia juga dapat mengatasi masalah penumpang yang kekurangan wang tunai.

"E-payment juga tidak mengenakan sebarang caj tambahan dan Kastam menjangkakan melalui penggunaan pembayaran E-payment itu kutipan meningkat sekitar lima hingga 10 peratus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibrahim berkata, KDRM juga merancang untuk memperluaskan penggunaannya ke beberapa lapangan terbang yang lain iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa di Kuching (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah), Senai (Johor) dan Bayan Lepas (Pulau Pinang) dalam waktu terdekat.

Terdahulu, Ibrahim menandatangani perjanjian kaedah pengutan hasil secara E-payment antara Kastam dengan RHB Bank Bhd yang diwakili Pengerusi RHB Islamic Bank Berhad Datuk Faisal Siraj. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain