suria

Kedutaan Malaysia di Jordan Kumpul Maklumat Mengenai Sukarelawan Malaysia

DUBAI: Kedutaan Malaysia di Jordan menggunakan semua kaedah yang ada, termasuk saluran diplomatik, untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan sukarelawan Malaysia dalam kapal yang membawa muatan bantuan kemanusiaan yang diserang oleh Israel di perairan Gaza pada Isnin.

Diketuai Duta Datuk Abdul Malek Abdul Aziz, pihak kedutaan sedang berusaha mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu, menurut pegawai di pejabat kedutaan itu di Amman, ibu negara Jordan.

"Kami sedang mengenal pasti jumlah sebenar warga Malaysia yang terlibat serta di mana mereka kini berada," kata pegawai itu kepada Bernama ketika dihubungi pada Selasa. Pegawai itu berkata, turut dikhuatiri ialah keadaan warga Malaysia berkenaan dan menurutnya: "Kami sedang cuba mendapatkan maklumat mengenai sama ada mereka cedera atau tidak."

Kedutaan itu meminta kerjasama badan-badan di Malaysia yang menghantar sukarelawan bagi misi kemanusiaan ke Gaza, yang dikepung Israel sejak tiga tahun lepas, memberikan nombor telefon para sukarelawan berkenaan kepada pihak kedutaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Luar Malaysia menyelamatkan warga Malaysia yang berada dalam kapal itu.

Bercakap di Kuala Lumpur, katanya, berikutan tiada komunikasi dengan pihak yang terlibat, Malaysia akan mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan negara-negara ketiga.

Sekumpulan warga Malaysia, termasuk seorang wartawan dan jurukamera daripada Astro Awani, berada dalam kapal Turki, Mavi Marmara, ketika kejadian serangan itu.

Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan oleh tentera Israel itu yang mendapat kritikan antarabangsa.

Setakat ini, nasib warga Malaysia berkenaan tidak diketahui.

Kapal Mavi Marmara, sebahagian daripada konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain