suria

Feri Langgar Bot Nelayan Hingga Tenggelam Di Kuala Kedah

ALOR SETAR: Sebuah feri penumpang yang dipercayai sedang diuji melanggar sebuah bot nelayan sehingga tenggelam dan merosakkan sebuah lagi di pelantar Haji Bidi, Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu yang berlaku pada 2 petang.

Feri milik syarikat Sunflower Sdn Bhd itu, yang mengendalikan perkhidmatan membawa penumpang Kuala Kedah-Langkawi, dipercayai sedang diuji selepas dibaiki.

Menurut pemilik bot yang tenggelam, Mohamad Musa, 58, feri tersebut merempuh botnya seberat 15 tan yang ditambat di pelantar.

"Saya melihat feri tersebut, 'Marine Star 3' yang membuat pusingan U dan tiba-tiba bergerak laju merempuh bot saya dari arah belakang dan bot saya tenggelam perlahan-lahan," katanya.

Kelajuan feri itu menyebabkan ia merempuh sebuah lagi bot ikan dan memecahkan kabinnya.

Mohamad berkata, beliau kerugian RM50,000 dan telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Kedah petang ini.

Seorang awak-awak bot Mohamad, Nasir Taib, 48, berkata, dia baru selesai mengeringkan bot apabila insiden itu berlaku.

"Tidak lama selepas menyiapkan kerja, saya beredar ke atas pelantar dan pada masa itu, feri berkenaan sedang membuat pusingan U lalu dan terus merempuh bot tauke saya dengan laju," katanya.

Jurucakap Jabatan Laut Kuala Kedah berkata jabatan itu akan menaikkan bot Mohamad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain