suria

Rakyat Digalak Beri Cadangan Berhubung Isu Subsidi

PUTRAJAYA: Sekarang adalah masa yang sesuai untuk rakyat negara ini memberikan pandangan berhubung cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala yang menyarankan kerajaan memansuhkan beberapa subsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan itu penting bagi memastikan rakyat berpuas hati apabila kerajaan membuat keputusan kelak.

Bagaimanapun katanya, hasil kajian daripada makmal Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) itu hanya cadangan dan pengurangan subsidi yang berkenaan masih belum dimuktamad dan belum diluluskan oleh Kabinet.

"Rakyat tidak perlu gelabah dan panik apabila kenyataan itu dikeluarkan kerana itu hanya cadangan daripada Pemandu untuk mengelakkan Malaysia berhadapan dengan risiko untuk muflis menjelang tahun 2019 sekiranya kerajaan tidak mengurangkan pemberian subsidi dan mengawal pinjaman sedia ada," katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Konvensyen Pengguna 2010 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, rakyat seharusnya menfokuskan dengan memberi cadangan kepada kerajaan untuk menyelesaikan isu subsidi dan tidak hanya bertumpu kepada tarikh dan berapa banyak subsidi akan dihapuskan oleh kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan mengambil sikap berterus-terang terhadap keadaan ekonomi negara kerana tidak mahu dianggap menipu rakyat dengan masalah dan bebanan yang dihadapi oleh kerajaan.

"Subsidi adalah baik untuk semua tetapi ini hakikat dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu rakyat telah mula memberikan maklum balas mengenai perkara itu dan secara berterus terang beliau berkata maklum balas yang diterima adalah bercampur-campur buat ketika ini.

Menurutnya, maklum balas itu dibuat menerusi Pemandu dan juga melalui laman sosialnya di Facebook miliknya.

"Semua maklum balas yang rakyat berikan sama ada terus ke kementerian saya mahu pun di Facebook akan saya bawa ke kabinet pada masa terdekat.

"Cadangan ini akan diambil kira dalam mencari kaedah terbaik bagi memuaskan hati semua pihak," katanya.

Sebelum ini, Idris Jala berkata Malaysia akan berhadapan dengan risiko untuk muflis menjelang tahun 2019 sekiranya kerajaan tidak mengurangkan pemberian subsidi dan mengawal pinjaman sedia ada.

Katanya, subsidi yang ditampung oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini adalah 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat 100 peratus sekiranya kerajaan tidak mengurangkan jumlah pemberian subsidi kepada rakyat di negara ini.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapan perasmiannya berkata, satu pelan induk bagi pengguna untuk tempoh dari tahun 2010 hingga 2020 yang lebih fokus dan bermakna akan dihasilkan berasaskan kepada kehendak dan keperluan rakyat.

Menurutnya melalui pelan tersebut diharap dapat mengurangkan campur tangan kerajaan dalam melindungi pengguna sekaligus melahirkan masyarakat yang menyedari dan melindungi hak mereka sebagai pengguna.

"Kuasa ada pada tangan pengguna dan sebenarnya mereka boleh menentukan harga barangan yang ingin mereka miliki," katanya.

Pelan yang dijangka siap pada penghujung tahun ini akan menfokuskan kepada kempen pengguna selain memperluaskan kesedaran dikalangan pengguna di luar bandar.

Konvensyen tersebut dilihat sebagai langkah pertama dalam menyediakan platform kepada semua pihak untuk berinteraksi secara dua hala dalam isu kepenggunaan bagi mendapatkan maklum balas tentang dasar dan peranan kementerian dalam usaha melindungi mereka sebagai pengguna.

"Sudah tentu kawalan harga akan masih ada tetapi fokus kita adalah untuk menyedarkan pengguna bahawa melindungi kepentingan sebagai pengguna dan hak mereka dalam menentukan harga barangan dipasaran adalah penting," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain