suria

Polis Minta Bantuan Jejaki Lelaki Terlibat Kes Tanam Bayi

SHAH ALAM: Polis Shah Alam hari ini meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki berusia 30 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan janin bayi lelaki yang ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaludin berkata lelaki itu, dipercayai bapa kepada bayi berkenaan, telah menghilangkan diri dari kediamannya di Kampung Padang Jawa di sini dan juga telah berhenti bekerja di sebuah kilang di sini sejak peristiwa itu.

Beliau berkata lelaki itu pernah didakwa di mahkamah kerana mencederakan seseorang pada tahun 2000 dan juga pernah ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor selama dua tahun kerana terlibat dengan kes dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hasnimah Wan Nawi di talian 03-55102222.

Mengenai tahanan reman terhadap remaja berusia 17 tahun yang disyaki ibu kepada bayi itu dan kakaknya berusia 24 tahun yang tamat tempohnya pada Isnin, Noor Azam berkata polis telah mendapatkan lanjutan tahanan reman kedua-duanya sehingga Rabu ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain