suria

Permit Pekerja Asing Disambung Lima Tahun Lagi, Kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Permit pekerja asing yang bekerja di sektor perladangan kelapa sawit yang telah lima tahun bekerja di negara ini, dibenarkan disambung lima tahun lagi, bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh di sektor itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan amat prihatin dengan masalah kekurangan tenaga buruh yang dialami oleh sektor perladangan pada ketika ini terutama di bawah subsektor perladangan kelapa sawit.

"Kerajaan sedar jika langkah-langkah drastik tidak diambil dengan kadar segera, ianya akan menjejaskan produktiviti dan daya saing subsektor ini, " katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata sektor perladangan adalah salah satu sektor yang masih bergantung kepada tenaga buruh dan kurang penyertaan daripada tenaga kerja tempatan, yang telah menyebabkan sektor ini terpaksa menggunakan banyak tenaga buruh asing.

Berdasarkan kaji selidik beberapa agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada tahun lepas, mendapati jumlah pekerja asing yang bekerja di sektor perladangan adalah seramai 520,449 orang atau 52 peratus daripada jumlah tenaga kerja di sektor perladangan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain