suria

IPT Berhak Anjur Program Ikut Budi Bicara Naib Canselor

PUTRAJAYA: Pihak pengurusan universiti mempunyai kuasa untuk memutus dan menganjurkan program dalam kampus masing-masing mengikut budi bicara Naib Canselor.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seseorang naib canselor boleh menilai kewajaran sesuatu program itu dianjurkan.

"Begitu juga dalam hal penganjuran program berbentuk syarahan di mana universiti tidak perlu merujuk kepada kementerian.

"Berkaitan isu penganjuran program syarahan Barry Wain, penulis buku Malaysian Maverick in Turbulent Times, kementerian beranggapan bahawa universiti mempunyai kebijaksanaan dan pertimbangan yang wajar untuk membenarkan program tersebut diadakan di universiti," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai forum anjuran Kluster Penyelidikan Sains Tingkah Laku dan Sosial (SBSRC) Universiti Malaya (UM) bagi membincangkan buku karya Wain.

Forum tersebut telah disalahgunakan oleh individu tertentu untuk dijadikan sebagai medan menghentam bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Umno dan orang Melayu.

Dalam buku yang diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada April lalu untuk diedarkan di negara ini, Wain antara lain mendakwa Dr. Mahathir telah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.

Justeru Mohamed Khalid berkata, kementeriannya telah mengarahkan pihak UM menyediakan laporan terpeinci mengenai forum berkenaan.

Jelas beliau, adalah tidak wajar dan bertentangan dengan budaya, amalan serta norma akademik yang berasaskan keilmuan dan kebenaran sekiranya forum berkenaan dilaksanakan dengan motif tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti seseorang pemimpin terutamanya seorang negarawan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara.

Menurutnya lagi, pihak universiti hendaklah menyediakan garis panduan dan tatacara yang jelas supaya program berbentuk akademik yang dianjurkan tidak lari daripada matlamat asalnya dan menjadi platform untuk agenda bagi individu tertentu.

"Hal ini penting supaya kebebasan akademik yang dimiliki oleh universiti tidak disalah gunakan bagi mereka yang berkepentingan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain