suria

Empat Dilantik Sebagai Pesuruhjaya Kehakiman

PUTRAJAYA: Empat orang termasuk dua peguam dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman berkuatkuasa pada Isnin.

Vazeer Alam Mydin Meera, 48, Lee Swee Seng, 49, Samsudin Hassan, 58, Abd Rahman Abdol, 54, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi di Istana Kehakiman di sini.

Vazeer Alam pernah menjadi rakan kongsi pengurusan di firma guaman Messrs Vazeer Akbar Majid & Co pada tahun 1994 dan pernah memegang jawatan sebagai bendahari di Malaysian Bar dari 2005 sehingga 2007.

Beliau juga merupakan peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya serta peguam Syariah di Selangor serta Kedah, dan pada tahun 2008 beliau merupakan penulis pojok Malaysian Insider.

Lee pula merupakan rakan kongsi pengurusan di firma guaman Lee Swee Seng & Co dan pernah menjadi anggota panel "Investigating Tribunal of Advocates & Solicitors Disciplinary Board" dan merupakan anggota Majlis Peguam 2010/2011.

Sementara itu jawatan terakhir yang disandang Samsudin ialah pengerusi Mahkamah Perusahaan cawangan Johor, dan beliau pernah memegang jawatan sebagai timbalan pendakwa raya dan pernah berkhidmat di Kementerian Luar Negeri.

Abd Rahman pula merupakan pengarah Mahkamah Sesyen negeri Johor dan pernah menyandang jawatan sebagai majistret. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain