suria

PKR Dikatakan Ketepi Peranan Ahli Wanita

KOTA BAHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan masih mengepikan peranan ahli wanita dalam perjuangannya.

Wakil wanita dari Pulau Pinang, Romlah Bee berkata tidak sepatutnya berlaku dalam parti itu apabila penglibatan golongan wanita seperti dinafikan sedangkan ketika berkempen, golongan itulah yang turut sama di barisan hadapan membantu jentera parti pada pilihan raya.

"Kami dinafikan untuk memegang jawatan penting di peringkat cabang (bahagian) lagi dan kali ini kami daripada golongan wanita meminta agar penglibatan kami sekurang-kurangnya 30 peratus dalam setiap tempat bukan sahaja di cabang tetapi di peringkat kepimpinan tertinggi diambil kira.

"Bila berkempen kami sanggup lakukan apa sahaja tetapi bila sudah menang janganlah lupakan kami yang banyak membantu ini," katanya yang mendapat sorakan lebih 1,000 perwakilan dan pemerhati pada Kongres Nasional Tahunan Ke-6 PKR yang masuk hari ketiga di sini hari ini.

Romlah yang membahaskan hak-hak kesamaan gender turut meminta kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR agar melibatkan wanita seperti di Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Wakil Johor, Shahrullizam Haron yang membahas isu yang sama turut meminta kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat supaya menubuhkan Kesatuan Pekerja-pekerja Wanita bagi melindungi hak mereka yang bekerja membantu keluarga.

"Ketika ini kita belum mendengar kesatuan khusus untuk golongan wanita dan jika pucuk pimpinan bersetuju ia boleh dipraktikkan di negeri yang diperintah kita," katanya.

Wakil Srikandi, Farah Afzan Faridi meminta PKR mencari kaedah baru untuk terus mendapat sokongan golongan muda yang menurutnya kini sudah beralih arah kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya Umno dan parti komponen BN yang lain lebih ke hadapan dalam menarik golongan muda dan Pakatan Rakyat seolah-olah kebelakang dalam perkara itu.

"Parti seperti tidak ada mekanisme khusus untuk menarik golongan muda," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain