suria

Penahanan "Raja Pot" Lumpuhkan Sindiket Pengedaran Heroin Terbesar Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang pengedar dadah yang amat dikehendaki polis dikenali sebagai "Raja Pot" berjaya ditahan bersama-sama dua lagi rakannya dalam satu operasi khas di Kampung Gelugur, Binjai Rendah, Marang malam Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supritendan Roslan Abd Wahid berkata, drama penahanan ketiga-tiga suspek yang terkenal dengan sifat ganas itu bermula pukul 11 malam apabila polis menyerang hendap kenderaan suspek setelah menunggu hampir lima jam di kawasan berkenaan.

"Polis bertindak mengepung kereta Perodua Viva yang dinaiki suspek dan memintanya menyerah diri, namun (suspek) telah mengundurkan kenderaan ke belakang dan terlanggar tiang lampu.

"Apabila cubaan itu gagal, mereka cuba pula merempuh ke depan, namun polis telah bersedia mengepung menggunakan kenderaan berat dari pelbagai arah. Pada waktu itu, mereka masih enggan keluar daripada kereta itu dan menguncinya dari dalam," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Polis terpaksa memecahkan cermin kereta tersebut dan membuka pintu kenderaan berkenaan untuk menahan ketiga-tiga suspek walaupun mereka cuba melarikan diri.

Roslan berkata, "Raja Pot" yang berasal dari Alur Limbat dan berusia dalam lingkungan 30an, sebelum ini pernah cuba merempuh pegawai dan anggota polis dalam satu operasi di Kampung Tebakang, Marang pada 13 Mei lalu.

Sementara itu, polis menemui lapan botol kecil dadah jenis heroin No 4 seberat 35.79 gram bernilai RM11,200 serta sejumlah mata wang asing dan tempatan bernilai RM13,000.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga baru pulang dari Thailand bagi mendapatkan bekalan dadah berkenaan dan singgah di kampung itu untuk menghantarnya.

Katanya, "Raja Pot" adalah pengedar heroin terbesar di Terengganu dan menguasai empat daerah iaitu Marang (Tebakang), Dungun (Jerangau Barat), Hulu Terengganu (Bading) dan Kuala Terengganu (Sempadan Kuala Terengganu) yang dianggarkan mempunyai antara 150 hingga 200 orang penagih.

"Suspek seorang yang licik dan polis sukar untuk mengesannya kerana sejak beroperasi awal tahun lepas, tempat operasinya sering berubah-ubah. Sindiket ini juga kerap turun naik sempadan iaitu setiap dua hari sekali dengan nilai transaksi sebanyak RM100,000 setiap minggu.

"Polis percaya sindiket ini mempunyai 10 orang ahli dan dengan tertangkapnya tiga lelaki ini, polis masih memburu enam hingga tujuh lagi anggota kumpulan terbabit yang telah dikenal pasti identitinya," katanya.

Ekoran penahanan "Raja Pot" yang mempunyai tiga rekod jenayah termasuk kes cubaan membunuh pegawai dan anggota polis, Roslan berkata pihaknya percaya rangkaian pengedaran heroin terbesar di negeri itu telah berjaya dilumpuhkan.

Suspek bersama dua rakannya yang berumur 30 dan 40 tahun itu kini direman sehingga 3 Jun ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang membawa hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Lain