suria

MIC Harap Program Dilaksana Kerajaan Dapat Libatkan Masyarakat India

JOHOR BAHARU: MIC berharap segala dasar atau program yang dilaksanakan kerajaan dapat melibatkan masyarakat India memandangkan golongan berkenaan masih mengharapkan sokongan dan bantuan kerajaan.

Presidennya Datuk Seri S.Samy Vellu berkata ini kerana ada masanya sesuatu program atau inisiatif yang dilakukan kerajaan untuk masyarakat India tidak mengikut apa yang diingini kaum berkenaan.

"Misalnya, apabila kerajaan menetapkan sasaran sebanyak 7.4 peratus pengambilan masyarakat India dalam perkhidmatan awam, ia mengambil masa yang begitu lama untuk mencapai sasaran tersebut.

"Kerajaan perlu mengkaji di manakah silapnya, sama ada dalam proses pemilihan calon atau calon itu sendiri," katanya berucap merasmikan Konvensyen MIC Johor ke-64, di sini hari ini.

Samy Vellu berkata sebagai parti yang memperjuangkan masyarakat India di negara ini, MIC akan terus berusaha meminta kerajaan bertindak adil dalam tuntutan kaum itu yang merangkumi bidang ekonomi, pendidikan, pekerjaan, perumahan dan kebajikan.

Beliau berkata MIC tidak mahu 30 hingga 40 peratus masyarakat India yang hidup dalam kekurangan ketika ini, terus meminta dan merayu untuk mendapatkan sesuatu termasuk pemilikan rumah, pekerjaan tetap dan pembiayaan pendidikan anak-anak.

"Akibatnya, wakil-wakil MIC dalam kerajaan terpaksa membawa kes-kes mereka untuk penyelesaian. Hari ini satu kes, esok satu kes lagi dan hari ketiganya, tiga atau empat kes," katanya.

Samy Vellu berkata usaha kerajaan menubuhkan badan bertindak untuk memantau dan mengenal pasti penyertaan kaum India dalam program kerajaan, baru-baru ini, adalah satu permulaan yang baik.

Katanya penubuhan badan bertindak itu diharap dapat membawa satu penyelesaian bagi semua masalah yang dihadapi seluruh masyarakat berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata Johor tetap akan menjadi kubu kuat Barisan Nasional memandangkan tiada calon MIC yang kalah dalam pilihan raya umum lepas.

Dengan keanggotaan 62,277 orang, katanya Johor merupakan negeri kedua merekodkan jumlah keanggotaan teramai ketika ini. - BERNAMA

Artikel Lain