suria

Kekalahan Di Hulu Selangor Bukti PKR Masih Gagal Dapat Kepercayaan Rakyat

KOTA BAHARU: Isu kekalahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu menarik perhatian pembahas pada Kongres Nasional Tahunan Ke-6 parti itu yang membuktikan parti itu masih gagal menarik sokongan rakyat terutama bangsa Melayu.

Wakil Kedah, Dr M. Krishna berkata sesuatu perlu dilakukan parti itu bagi mendapatkan semula kepercayaan yang diperoleh pada pilihan raya umum lalu yang jika tidak, ia memberikan ruang yang lebih baik buat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Keadaan ini perlu diatasi segera. Berikanlah khidmat yang terbaik kepada rakyat yang kini melihat apa yang sedang dilakukan PKR terutama di Selangor," katanya.

Beliau juga meminta pucuk pimpinan membuat tapisan yang cukup ketat kepada bakal-bakal calon pada pilihan raya umum akan datang bagi mengelak berlakunya lagi isu keluar parti di kalangan wakil rakyat.

Selain itu beliau turut mendesak kerajaan negeri Selangor menukar mana-mana kepimpinan anak-anak syarikat yang tidak meningkatkan prestasi kerana kelemahan itu menjadi sebutan rakyat di negeri terbabit ketika ini.

Wakil Negeri Sembilan, Aminuddin Harun pula meminta pucuk pimpinan melakukan sesuatu untuk menarik sokongan peneroka Felda kerana sokongan golongan itu penting seperti di Hulu Selangor.

"Kerajaan negeri Selangor perlu kaedah untuk mendekati warga Felda dan jika di Selangor kita gagal berbuat demikian apatah lagi untuk mendapat sokongan yang lebih baik di seluruh negara," katanya.

Wakil Pahang, Ramli Logan yang juga Orang Asli menarik perhatian perwakilan dan pemerhati dengan isu-isu membabitkan golongan itu.

"Kami mahu isu tanah adat diatasi segera dan juga apa sebenarnya status kami. Kami dikelaskan bukan dalam golongan Bumiputera tetapi dimasukkan dalam kaum-kaum lain.

"Kalau kaum lain itu apa? Alien (makhluk asing) kah kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain