suria

JAS Giat Jalankan Pembersihan Pantai Akibat Tumpahan Minyak

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) giat menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai yang terjejas akibat tumpahan minyak dari kapal tangki MT Bunga Kelana 3 yang berlanggar dengan kapal MV Waily di Tanjung Stapa, perairan Pengerang.

Sehingga 11 pagi ini, kira-kira 200 pekerja berusaha membersihkan pantai yang masih terjejas termasuk Tanjung Ayam, Sungai Rengit, Sungai Musuh dan Sungai Haji Ahmad.

"Kerja-kerja pembersihan yang dijalankan setakat ini mengumpulkan 18,911 liter minyak bercampur air yang tercemar," demikian menurut kenyataan JAS di sini, hari ini.

JAS berkata pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan masih memantau pergerakan minyak di laut dan jika terdapat tumpahan minyak dikesan, kerja-kerja pembersihan minyak di laut akan dijalankan serta-merta.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas dan Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Rosnani Ibarahim akan membuat lawatan kerja ke kawasan yang tercemar bagi memantau keadaan pencemaran dan kerja-kerja pembersihan yang sedang dijalankan.

Dalam kejadian 25 Mei lepas, MT Bunga Kelana 3 yang membawa 63,054 tan metrik 'light crude oil' milik Petronas dari Bintulu ke kilang penapis Petronas di Melaka, manakala kapal MV Waily membawa kargo bijih besi dan sedang dalam pelayaran dari India ke Hong Kong telah berlanggar di Tanjung Stapa, perairan Pengerang.

Kejadian menyebabkan 2,000 tan metrik minyak tumpah setelah berlaku koyakan sepanjang 10 meter pada MT Bunga Kenanga manakala MV Waily hanya mengalami kerosakan kecil.

Tumpahan itu menyamai 14,660 tong minyak yang cukup untuk memenuhkan kolam renang bersaiz olimpik.

JAS meminta kerjasama orang ramai yang menemui kesan atau tompokan minyak supaya memaklumkannya dengan menghubungi talian hotline di 1-800-88-2727. - BERNAMA

Artikel Lain