suria

Rakyat Diminta Bantu Kerajaan Tangani Kebergantungan Kepada Subsidi

TEMERLOH: Rakyat diminta memberi pandangan dan cadangan bagaimana untuk menangani masalah kebergantungan kepada subsidi bagi mengatasi bebanan kewangan negara di masa hadapan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pandangan rakyat amat diperlukan bagi membantu kerajaan menangani masalah tersebut sebelum membuat sebarang keputusan untuk menaikkan harga barangan tertentu.

Katanya, cadangan yang dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) dua hari lepas untuk menaikan harga barangan tertentu perlu diperhalusi dan mendapat pandangan dan maklum balas dari rakyat.

"Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan membuat sebarang keputusan sesuka hati untuk menaikan harga barangan tetapi sebaliknya membuka peluang kepada rakyat untuk memberikan pandangan.

"Kerajaan bersikap terbuka dan telus supaya rakyat memberikan segala pandangan dan akan dikaji sebelum kerjaan membuat sebarang keputusan terutamanya harga barangan yang menjadi keperluan rakyat seperti petrol, gula dan minyak masak," katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis gotong royong membaik-pulih rumah warga emas di Kampung Jelam Kampung, Durian Tawar anjuran bersama Umno Bahagian Bera, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan belia dan penduduk kampung berkenaan dekat sini.

Ismail Sabri turut menafikan spekulasi kononnya harga petrol, minyak masak dan gula akan dinaikkan dalam sedikit masa lagi.

Menurutnya, kenaikan harga barangan yang sedang digembar-gembur itu adalah satu cadangan kerajaan sahaja yang dikemukakan menerusi MRS.

Katanya, jika kerajaan menerima maklum balas yang negatif, kerajaan akan meneruskan subdisi sedia ada.

Ismail Sabri berkata, pada tahun 2009 lepas, kerajaan menanggung pelbagai subsidi sebanyak RM74 bilion meliputi subsidi bahan api, infrasktur dan sebagainya.

"Setakat ini kerajaan belum bercadang mengurang atau menarik balik subsidi tersebut kerana sesuatu tindakan dan keputusan yang akan dilakukan kerajaan akan mengambil kira kepentingan serta kebajikan rakyat terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata rakyat seharusnya bersyukur kerana subsidi yang diberikan kerajaan dapat membantu mereka mengurangkan bebanan perbelanjaan, berbanding rakyat di negara lain yang tidak mendapat sebarang subsidi. - BERNAMA

Artikel Lain