suria

PM Mahu Pendekatan Lebih Komprehensif, Holistik Tangani Isu Keselamatan Jalanraya

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pendekatan yang lebih komprehensif dan holistik dalam usaha menangani isu keselamatan jalan raya yang saban tahun dilihat menyebabkan jumlah kematian yang besar.

Beliau berkata kokurikulum baru yang bakal diperkenalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk latihan lesen memandu, perlulah dapat melahirkan pemandu yang kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah.

"Setiap tahun jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah antara 6,000 hinga 6,500 orang. Kerugian akibat kos membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat kemalangan sahaja mencecah RM9 bilion.

"Ini tidak termasuk kos perbelanjaan rawatan yang ditanggung kerajaan dan keluarga terbabit, selain kesan emosi dan sebagainya," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung ke-10 Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata pemandu kenderaan perlu dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran secukupnya untuk menjadi pemandu yang lebih bertanggungjawab di jalan raya.

Katanya, kemalangan maut di jalan raya lebih dilihat berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang tidak berhemah selain tidak mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

"Sebahagian besar kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian dan kelemahan akibat sikap para pemandu yang sebenarnya boleh dielakkan," kata Najib.

Selain itu, Perdana Menteri turut menegur penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang dilihat masih lemah.

"Kalau penguatkuasaan begitu efektif, orang akan takut untuk bawa laju, dan bagi institut memandu, mereka perlu efektif dalam melatih, mendidik dalam usaha melahirkan generasi pemandu yang berhemah," katanya.

Kemudiannya ketika ditanya pemberita berkenaan kempen keselamatan jalan raya yang menelan kos yang besar tapi masih tidak memberi kesan, Najib berkata kerajaan akan tetap meneruskan kempen keselamatan jalan raya untuk terus mendidik pemandu di negara ini.

"Kempen akan diteruskan, apa yang penting penguatkuasaan yang efektif, latihan memiliki lesen memandu yang lebih efektif dalam usaha kita untuk melahirkan generasi memandu yang kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah," katanya.

Turut hadir Presiden PIMA Mat Aris Bakar dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan. - BERNAMA

Artikel Lain