suria

PERKESO Buat Operasi Kesan Majikan Tidak Mencarum

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melancarkan operasi bersepadu mengesan majikan yang gagal berdaftar dan mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sepanjang bulan depan.

Pengurus Besar Perancangan dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Mohamad Asri Ngosman berkata operasi yang dikenali sebagai 'Ops Kesan Perkeso' itu akan dilancarkan 1 Jun ini.

"Operasi ini akan bertumpu kepada pemeriksaan dari pintu ke pintu di premis majikan di mana Perkeso akan terus mengeluarkan kompaun bagi setiap kesalahan yang dilakukan oleh majikan dalam pemeriksaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Asri berkata mana-mana majikan yang gagal berdaftar boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata operasi tersebut akan dilaksanakan selepas waktu pejabat bagi mengesan majikan yang menjalankan operasi pada waktu malam tetapi masih gagal berdaftar dan mencarum dengan Perkeso.

Katanya antara tumpuan premis adalah pusat-pusat istirahat dan hiburan, kedai-kedai makan, kafe siber dan lain-lain.

Beliau juga menyeru majikan yang masih belum mendaftar supaya segera berbuat demikian di 46 pejabat Perkeso terdekat di seluruh negara.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau ingin kemukakan aduan boleh hubungi talian hotline Perkeso di 03-4257 5755 atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip PERKESO ADUAN (nombor kad pengenalan) (aduan anda) dan hantar ke 15888. - BERNAMA

Artikel Lain