suria

Masalah Dalaman MIC Beri Kesan Kepada Keutuhan BN - Shafie

SEMPORNA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apal berkata masalah dalaman yang berlaku dalam parti MIC sedikit sebanyak memberi kesan kepada keutuhan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata kepimpinan MIC perlu menyelesaikan masalah berkenaan secepat yang boleh agar impaknya tidak berterusan.

"Kesannya memang ada tetapi tidaklah sampai boleh melumpuhkan kegiatan kita. Dalam sejarah politik memang pernah berlaku krisis dalaman parti-parti komponen BN seperti Umno, MIC dan MCA.

"Malah Umno dahulu pernah diharamkan (disebabkan krisis dalaman). Tapi kita yakin pemulihan dalam parti berkenaan (MIC) akan memperkuatkan BN," katanya ketika diminta mengulas mengenai masalah dalaman yang sedang melanda MIC.

Beliau berkata lebih cepat MIC menyelesaikan masalah dalamannya, usaha mengukuhkan lagi BN dapat dijayakan lebih cepat memandangkan MIC merupakan komponen ketiga terbesar BN.

Baru-baru ini, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu memecat dua anggota Jawatankuasa Pusat (CWC) iaitu K.P Samy dan G. Kumar Amaan, timbalan ketua Pemuda MIC V. Mugilan dan pemimpin veteran bahagian Petaling Jaya, V. Subramaniam kerana lantang mengkritik dan mendesak beliau melepaskan jawatan lebih awal daripada tarikh yang diumumkannya.

Mugilan turut menganjurkan perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) esok bertempat di The Mines, Seri Kembangan, Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain