suria

Kanak-Kanak Lemas Terjerlus Pasir Ketika Cari Etak

TUMPAT: Seorang murid Tahun Enam lemas selepas dipercayai terjelus dalam pasir ketika mencari etak di Sungai Pulau Besar, dekat sini semalam.

Abdul Aziq Afizuddin Mohd Zaki, 12, ditemui di dasar sungai oleh sepasukan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Tumpat, kira-kira pukul 10.30 malam semalam selepas dia keluar bersama nenek dan dua abangnya untuk mencari etak di sungai berkenaan pada 6 petang.

Bapa mangsa, Mohd Zaki Zakaria, 42, berkata anaknya itu teringin sangat untuk mengikut neneknya, Minah Yusof, 80, ke sungai untuk mencari etak.

"Selepas sembahyang Subuh dia kata hendak pergi jauh dan ingin pergi ke sungai itu bersama dengan nenek. Tidak sangka begini jadinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang, ketika mangsa bersama abangnya, Abdul Hafiz Fadillah, 14, dan Abdul Muiz, 17, berada di sungai untuk mencari etak bersama dengan nenek mereka.

Mohd Zaki berkata Abdul Aziq yang berjalan di hadapan secara tiba-tiba terjerlus ke dalam pasir dan kemudian disedari oleh Abdul Muiz yang sempat menarik baju adiknya.

Tarikan pasir itu yang lebih kuat menyebabkan Abdul Muiz turut lemas dan dia terpaksa melepaskan adiknya untuk menyelamatkan diri.

"Melihat adiknya tenggelam, Abdul Muiz memberitahu neneknya sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata usaha mencari selama lebih tiga jam membawa kepada penemuan mayat di dasar sungai kira-kira 10 meter dari tempat pelajar itu terjerlus.

Mayat Abdul Aziq dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain