suria

Tumpahan Minyak Masuki Perairan Malaysia

JOHOR BARU: Tumpahan minyak daripada kapal tangki MT Bunga Kelana 3 yang berlanggar dengan kapal pengangkut pukal MV Waily di Selat Singapura kira-kira 13 kilometer ke tenggara Changi East Selasa lepas kini memasuki perairan Malaysia.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dalam satu kenyataan berkata, tumpahan minyak yang dianggarkan 1,600 meter panjang dan 960 meter lebar itu berada hanya kira-kira 960 meter dari pantai Tanjung Ayam di Pengerang, Kota Tinggi.

"Ketika ini Jabatan Laut Wilayah Selatan sedang menjalankan kerja-kerja melawan tumpahan minyak di laut itu bagi mengelakkan ia sampai ke pantai," menurut Pengarah JAS negeri, Dr Zulkifli Abdul Rahman dalam kenyataan itu semalam.

Menurutnya, peralatan penghalang atau "boom" sudah dipasang bagi mengelak tumpahan minyak itu memasuki kawasan pantai.

Sementara itu, pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di kawasan Pengerang dinasihatkan memantau ternakan masing-masing agar tidak menerima kesan tumpahan itu sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan berlaku perkara di luar jangkaan semasa pelbagai pihak berusaha membersihkan tumpahan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain