suria

Pemandu Cadang Naik Harga Petrol 15 Sen, Diesel 10 Sen

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin terpaksa menaikkan harga petrol dan diesel masing-masing 15 sen serta 10 sen bagi setiap liter untuk mengurangkan subsidi bernilai RM200 bilion yang ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Perkara tersebut dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala ketika membentangkan cadangan rasionalisasi subsidi pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Menurutnya, perkara tersebut dikemukakan setelah Pemandu menjalankan kajian terhadap impak subsidi ke atas ekonomi global.

“Kita mencadangkan agar harga petrol (RON 95) dinaikkan sebanyak 15 sen daripada RM1.80 seliter kepada RM1.95 seliter antara Jun dan Disember tahun ini.

“Manakala, bagi diesel pula, harga yang telah disubsidi ialah RM1.70 dan kita mencadangkan supaya harganya dinaikkan sebanyak 10 sen kepada RM1.80 seliter,” katanya.

Tambahnya, langkah yang tidak popular itu terpaksa diambil oleh kerajaan bagi mengelakkan bajet defisit yang ditanggung oleh kerajaan pusat.

Pada ketika ini kerajaan telah memberikan subsidi sebayak 44 sen bagi RON 95. “Kerajaan telah menampung subsidi diesel sebanyak 40 sen bagi setiap liter yang dijual di setiap stesen minyak di seluruh negara.

“Bagi Gas Petroleum Cecair (LPG) yang berharga RM24.50, pula kita harap agar ia akan dinaikkan kepada RM27,” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, harga petrol patut dinaikkan 10 sen seliter secara berperingkat dalam tempoh setiap enam bulan sementara bagi harga LPG pula ia wajar dinaikkan sebanyak 20 peratus setiap tahun.

“Kita mahu rakyat yang berpendapat rendah benar-benar menikmati pemberian subsidi yang diberikan ini.

“Oleh itu, kerajaan sedang merangka mekanisme terbaik agar langkah pengurangan subsidi bahan bakar ini tidak membebankan orang ramai,” katanya.

Idris berkata, pada ketika ini adalah masa yang sesuai untuk kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel memandangkan harga minyak mentah dunia agak rendah sekitar AS$71.65 (RM235.70) setong.

Jelas beliau, nilai subsidi bahan bakar yang ditanggung oleh kerajaan ialah sebanyak 5.0 hingga 44 peratus daripada defisit fiskal Malaysia dan jumlah tersebut adalah satu beban yang besar kepada negara.

“Malaysia menggunakan lebih banyak bahan bakar berbanding negara-negara lain di rantau ini dan rakyat perlu sedar yang kita adalah antara negara bersubsidi paling besar di dunia.

“Kita juga perlu tahu perbezaan antara harga di pam dan pasaran sebenar telah disubsidikan,” katanya.

Beliau berkata harga minyak mentah yang pada dijangka terus meningkat kepada AS$75.37 (RM247.96) tahun ini.

Oleh itu beliau menegaskan bahawa subsidi bahan bakar yang dinikmati oleh rakyat perlu disemak semula agar ia dapat memberikan manfaat terutamanya kepada kumpulan berpendapatan sederhana dan tinggi.

"Malaysia akan menjadi pengimport bersih produk petroleum menjelang 2011 dan jumlah subsidi akan meningkat kepada kira-kira RM200 bilion dalam tempoh 20 tahun," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa semua langkah pengurangan subsidi bahan bakar yang dicadangkan oleh Pemandu belum dimuktamad dan dipersetujui oleh jemaah menteri.

“Harus diingat ini hanyalah cadangan daripada Pemandu dan mereka yang telah kita pilih untuk melakukan penyelidikan selama enam minggu di dalam makmal rasionalisasi subsidi.

“Kabinet belum lagi membuat keputusan untuk terima atau menolak cadangan ini. Pemandu hanya memberi cadangan dan menerima maklum balas daripada orang ramai mengenainya,” katanya.

Selain pengurangan subsidi bagi bahan bakar, Pemandu turut mencadangkan pengurangan subsidi dalam sektor pendidikan, perubatan, makanan, kadar tol serta beberapa sektor yang lain.

Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi itu berlangsung pada pukul 9 pagi hingga 2 petang tadi.

Program tersebut diadakan bagi mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain