suria

Saman Anwar Terhadap Mohd Saiful Untuk Pengurusan Kes 23 September

KUALA LUMPUR: Saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, kerana niat jahat dalam membuat laporan polis bahawa beliau diliwat oleh ketua pembangkang itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 September.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi K.Pavani menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Jason Tay dan Zamri Idrus untuk Mohd Saiful.

Zamri memberitahu pemberita bahawa peguam plantif (Anwar) meminta mahkamah untuk tarikh lain bagi sebutan kes itu sementara menunggu perbicaraan jenayah Anwar mengenai pertuduhan liwat di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Mahkamah Tinggi Jenayah telah menetapkan 31 Mei hingga 4 Jun untuk meneruskan perbicaraan liwat Anwar. Mahkamah juga menetapkan sebulan dari 2 hingga 30 Ogos untuk perbicaraan tersebut.

Anwar, 63, memfailkan saman itu terhadap Mohd Saiful,25, pada 30 Jun, 2008, yang mendakwa bahawa bekas pembantunya itu membuat laporan polis itu dengan motif jahat dan juga untuk menjejaskan peribadinya sebagai seorang ahli politik.

Dalam kenyataan tuntutannya, beliau berkata, Mohd Saiful mengetahui bahawa pertuduhan liwat itu adalah palsu tetapi meneruskan dan membuat laporan polis pada 28 Jun,2008.

Beliau mendakwa bahawa ekoran laporan polis itu, reputasi beliau telah terjejas dan beliau sangat sengsara dan malu.

Mohd Saiful dalam kenyataan pembelaannya pada Mei 2009 berkata, laporan polis itu adalah wajar dan jika tidak benar, pendakwaan tidak akan mengenakan pertuduhan liwat terhadap Anwar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain