suria

Polis Tahan Tiga Warga Indonesia Disyaki Larikan RM10,000

KUALA TERENGGANU: Polis menahan tiga warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kejadian melarikan wang tunai RM10,000 dari sebuah kenderaan milik seorang peniaga, di Chendering di sini, tidak sampai 12 jam selepas menerima laporan mengenainya, dua hari lepas.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Supritendan K.Manoharan berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12 tengah hari Selasa lalu, selepas seorang peniaga lelaki berusia 58 tahun dari Rusila, Marang, menunaikan cek RM10,000 dari sebuah bank di sini.

"Sampai di Chendering, peniaga yang dalam perjalanan pulang ke Rusila itu berhenti untuk membeli makanan di sebuah restoran tanpa mematikan enjin keretanya, sementara wang tunai itu diletakkan di tempat duduk di hadapan sebelah pemandu.

"Tiba-tiba muncul seorang lelaki membuka pintu kereta dan mengambil wang itu sebelum melarikan diri bersama rakannya yang sedang menunggu dalam sebuah kereta yang menghala ke arah Marang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Marang yang menerima laporan berhubung kejadian itu kemudian terserempak dengan kereta yang dinaiki oleh dua suspek lalu mengejarnya, namun suspek didapati menghilangkan diri dalam semak selepas kereta itu ditinggalkan di Merchang.

Manoharan berkata, semasa polis menjalankan operasi mengesan suspek di kawasan itu, kira-kira 2.30 petang muncul sebuah kenderaan lain dinaiki dua lelaki yang dipercayai rakan suspek.

"Kedua lelaki warga Indonesia itu dipercayai datang ke situ untuk membantu dua rakannya itu dan apabila menyedari kehadiran polis mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 9.30 malam ketika operasi masih dijalankan di kawasan yang sama, muncul sebuah lagi kereta yang dipercayai dinaiki oleh dua suspek lagi suspek.

Katanya, polis menahan seorang daripada suspek, manakala seorang lagi melarikan diri.

Manoharan berkata, ketiga-tiga lelaki yang berumur 30an itu kini ditahan reman selama empat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaaan kerana mencuri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain