suria

Pemansuhan Subsidi Kekang Gejala Sorok Barang, Manipulasi: Perdasama

KUALA LUMPUR: Langkah pengurangan dan pemansuhan subsidi yang dicadangkan oleh kerajaan, mampu mengekang gejala manipulasi harga oleh pemborong bahan keperluan harian, kata Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Izzat Emir.

Beliau berkata, selama ini, terdapat sebilangan pemborong yang mengambil kesempatan menggunakan kemudahan lesen pemborong dan subsidi yang diberi kerajaan, dengan menyorok dan menentukan harga barangan mengikut sesuka hati mereka.

Ini mengakibatkan rakyat sering dihantui keadaan ketiadaan barangan keperluan di pasaran dan harga yang sentiasa turun naik pada waktu-waktu tertentu, terutama pada musim perayaan.

"Tujuan kerajaan memberi subsidi ialah untuk membantu pengguna yang kurang mampu dan berpendapatan rendah. Namun apabila berlaku hal seperti ini (menyorok dan manipulasi harga barang), rakyat yang menerima padahnya.

"Adalah tidak adil kerajaan yang kena tanggung subsidi yang banyak setiap tahun tetapi ia hanya memberi keuntungan kepada sebelah pihak sahaja, manakala rakyat pula dihantui masalah kekurangan barangan keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian hari ini ketika diminta mengulas langkah kerajaan mengadakan Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini bagi mendapatkan maklum balas rakyat terhadap cadangan pemotongan subsidi itu.

Menurut Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), kerajaan terpaksa menangung beban subsidi barangan keperluan seperti beras, gula dan petrol sebanyak RM79 bilion tahun lepas.

Izzat berkata, dengan pembebasan subsidi juga, kerajaan secara tidak langsung memberi peluang kepada para peniaga bersaing dalam pasaran terbuka dan ini menjadikan harga barangan lebih kompetitif.

"Bila kita berniaga dalam pasaran terbuka, baru harga barang akan turun sebab para peniaga akan bersaing sesama sendiri dan mereka akan menjadikan harga barang lebih kompetitif bagi menarik pelanggan," katanya.

Izzat berkata, kerajaan bagaimanapun perlu bijak mencari alternatif lain bagi memastikan subsidi terus dinikmati golongan kurang berkemampuan, yang banyak bergantung terhadap pemberian subsidi untuk membeli barangan keperluan harian.

"Perlu ada mekanisme bagaimana golongan ini tidak diketepikan daripada menerima subsidi walaupun kerajaan akan membebaskan subsidi kelak.

"Mungkin kerajaan boleh buat satu jawatankuasa khas yang dipertanggungjawabkan bagi membekal gula, beras dan sebagainya secara terus kepada orang miskin pada harga subsidi," katanya.

Cadangan serupa turut disuarakan Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata, perlu ada sistem yang efisien dan efektif bagi membantu golongan berpendapatan rendah supaya tidak diketepikan apabila kerajaan benar-benar mahu membebaskan subsidi.

"Kita minta mereka ini (golongan miskin dan miskin tegar) berdaftar dengan ketua kampung atau penghulu bagi dinilai sama ada layak atau tidak menerima bantuan subsidi.

"Dengan cara begini, orang miskin pun dapat bantuan, manakala kerajaan tidak lagi perlu menanggung subsidi untuk rakyat yang tidak layak diberi subsidi," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain