suria

Pemandu Treler Maut Dalam kemalangan Di Lebuhraya Utara Selatan

SEREMBAN: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas treler yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di KM 258.7, Lebuhraya Utara-Selatan, menghala Utara berhampiran susur keluar ke plaza tol Rasah dekat sini pagi tadi.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.30 pagi apabila pemandu treler, Zailan Kasman, 43, yang membawa muatan bahan membuat plastik itu gagal mengawal kenderaannya, mengakibatkan ia terbabas sebelum terbalik di tepi lebuhraya.

Beliau berkata, Zailan yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat.

Sepasukan empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang yang diketuai oleh pegawai bomba Sharin Simin mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan rakan Zailan, Irwanshah Buhari, 27, yang tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.

Irwanshah yang mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kejadian berlaku semasa mereka berdua sedang dalam perjalanan dari Johor Baharu menuju ke sebuah kilang di Shah Alam untuk menghantar bahan berkenaan.

"Saya tak pasti bagaimana kejadian itu berlaku kerana ketika kejadian saya sedang tidur di kabin bahagian belakang pemandu, tiba-tiba saya rasa treler bergegar dan bergoncang kuat dan saya terus tercampak ke hadapan di tempat memandu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain