suria

Pelanggan Pusat Urut Batin Ditahan Dalam Keadaan Bogel

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga pelanggan sebuah pusat refleksologi di Pusat Perniagaan Danau Desa, Jalan Klang Lama dekat sini terkejut apabila diserbu dalam keadaannya berbogel manakala dua pelanggan lain separuh bogel.

Pegawai Turus Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur DSP Razali Abu Samah berkata ketika serbuan, ketiga-tiga pelanggan itu sedang leka diurut dan polis mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan.

Beliau berkata dalam serbuan pada pukul 7 petang hasil maklumat orang ramai itu, polis menahan lima wanita rakyat Thailand dan dua wanita Vietnam, kesemuanya berusia antara 22 dan 29 tahun serta seorang lelaki tempatan, 33, dipercayai penjaga premis itu.

Difahamkan selain pakej urut badan, pelanggan premis itu turut ditawar khidmat seks.

"Kami turut merampas 72 kondom yang belum digunakan yang disorok serta ditutup dengan kertas di dalam tong sampah," katanya kepada pemberita di sini malam semalam.

Razali berkata polis turut merampas sebuah buku catatan yang merekodkan hasil pelacuran dan satu lagi buku yang mencatat hasil harian pekerja secara keseluruhan.

Pemeriksaan awal juga mendapati, kesemua pelacur rakyat asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain