suria

Lima Pemandu Syarikat Beras Disyaki Cuba Pecah Amanah Ditahan

JOHOR BARU: Lima pemandu sebuah syarikat pengedar beras terkenal negara ditangkap kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pecah amanah di Pasir Gudang, kata Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Beliau berkata, kelima-lima lelaki berusia di antara 20 dan 40 tahun itu ditahan dalam operasi oleh anggota Balai Polis Permas Jaya pada pukul 11.15 malam semalam.

"Mereka dipercayai telah memunggah 85 guni beras dari kawasan Pelabuhan Pasir Gudang untuk dihantar ke gudang di mukim Plentong, sebelum dijual di pasaran gelap dengan harga yang murah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pihak berkuasa katanya, turut merampas dua buah lori yang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu, serta pelbagai dokumen penghantaran ke gudang terbabit.

Nilai keseluruhan rampasan kata Mohd Mokhtar, dianggar RM9,138.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat serta denda.

Kelima-lima pemandu syarikat pengedar beras terkenal negara itu kini ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Mokhtar berkata, polis menahan seorang lelaki Myanmar berumur 46 tahun kerana disyaki mengedar dadah di sebuah rumah di Taman Desa Jaya, Johor Baharu semalam.

"Kami menemui 11 paket plastik lutsinar mengandungi bahan serbuk putih dipercayai heroin," katanya sambil menyatakan polis turut menemui dua straw tiub panjang dan tiga straw tiub pendek mengandungi dadah yang sama.

Jumlah keseluruhan berat dadah yang dirampas itu ialah 68 gram dengan nilai pasaran RM2,720, katanya.

Lelaki itu, pemegang kad pelarian Pesuruhjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain