suria

Insentif Untuk Swasta Majukan Pertanian

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji cadangan pemberian insentif yang lebih efektif dan menarik bagi menggalakkan pihak swasta melabur dalam teknologi jimat buruh namun pada masa yang sama dapat meningkatkan produktiviti dan pengeluaran hasil pertanian.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebergantungan kepada tenaga buruh perlu dikurangkan sebaliknya berubah kepada sistem berintensif teknologi dan inovasi yang mesra alam.

"Saya amat berharap dengan memperkenalkan penggunaan mekanisasi dan automasi, bukan sahaja dapat mengurangkan keperluan penggunaan buruh, tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

"Pada masa ini lebih 50 peratus daripada pekerja sektor pengeluaran makanan merupakan pekerja asing," katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Konvensyen Jaminan Bekalan Makanan 2010-2020 di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Selain itu Muhyiddin berkata, penggunaan mekanisasi dan automasi pertanian perlu diperluaskan untuk meningkatkan pengeluaran, nilai tambah dan kecekapan guna tenaga.

"Dalam masa yang sama, kita perlu menjana dan memperolehi teknologi yang baru muncul seperti teknologi nano, bio dan maklumat yang relevan kepada industri agro makanan.

"Ini memerlukan penglibatan bukan sahaja daripada sektor awam, malahan memerlukan komitmen yang tinggi daripada sektor swasta," katanya.

Katanya lagi, cabaran besar yang dihadapi negara menjelang 2020 ialah keupayaan dan kemampuan untuk memastikan jaminan bekalan makanan dalam konteks Model Ekonomi Baru mencukupi.

Malah Muhyiddin berkata cabaran pada hadapan adalah untuk memastikan pengeluar mendapat pendapatan yang tinggi namun pada masa yang sama mengekalkan harga pada paras yang berpatutan kepada pengguna.

Justeru beliau berkata, pembangunan sektor pertanian dan industri asas tani bagi menghasilkan bekalan makanan pada paras yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan memerlukan penglibatan pihak swasta.

"Saya menyeru pihak swasta untuk menjadi peneraju pertumbuhan sektor agro makanan, kerajaan sebagai pemudah cara akan terus menyokong dan menggalakkan lebih banyak pelaburan swasta dalam sektor ini," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis perasmian berkenaan, Noh berkata, antara insentif yang ditawarkan bagi menggalakkan penyertaan pihak swasta dalam sektor agro makanan ialah melalui dua skim iaitu perolehan jentera baru dan geran mesin.

"Selain itu kerajaan juga menawarkan tenaga kerja mahir tempatan yang terlatih untuk bekerja di sektor-sektor swasta," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain