suria

Dadah: Suri Rumah Ditahan Semula Selepas Dibebaskan Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Kegembiraan bertemu dengan empat anak dan anggota keluarga selepas hampir 30 hari berada dalam tahanan polis, hanya dapat dinikmati tidak sampai satu jam apabila suri rumah berumur 42 tahun ditahan semula oleh polis sebaik sahaja wanita itu melangkah keluar dari bilik Mahkamah Tinggi berhubung dakwaan mengedar dadah.

Lim Mui Cheng dari Muar berjaya dalam permohonan habeas corpus yang dikemukakannya dan pada Selasa Mahkamah Tinggi memerintahkannya dibebaskan atas alasan wujud kekeliruan dalam penahanannya.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak juga membenarkan permohonan peguam yang mewakili Lim, Datuk N. Sivananthan supaya Lim dibawa ke mahkamah dan dibebaskan.

Lim ditahan bersama-sama suami, anak lelaki dan teman wanita anaknya itu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mawar, Johor pada 27 April.

Suri rumah itu telah ditahan di balai polis Johor Jaya mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) manakala lainnya dibebaskan dalam tempoh dua hari selepas serbuan itu.

Sedikit kekecohan berlaku pada kira-kira 11 pagi semasa anggota polis berpakaian biasa menahan semula Lim manakala anggota keluarganya terkejut dan keliru kenapa dia ditahan semula.

Sivananthan berkata, beliau kecewa dengan tindakan polis kerana beliau dimaklumkan anak guamnnya itu ditahan semula mengikut akta yang sama selepas mahkamah membebaskan anak guamnya itu daripada penyiasatan.

Katanya, beliau akan memfailkan permohonan secepat mungkin untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Negara (KPN) bagi menghina mahkamah.

"Responden (KPN) tidak menghormati perintah mahkamah dan mempermainkan seluruh proses badan kehakiman," kata Sivananthan.

Peguam itu berkata, semasa serbuan dilakukan tiada dadah ditemui dalam rumah itu dan jika mereka mempunyai bukti pembabitan anak guamnnya dalam pengedaran dadah, anak guamnya patut dihadapkan ke mahkamah.

Pada 5 Mei, writ difailkan dengan afidavit sokongan oleh anak lelaki Lim, Yap Kar Fu, 22, bagi membebaskan ibunya daripada tahanan polis, menyatakan penahanan itu menyalahi undang-undang.

Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria mewakili KPN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain