suria

Tidak Ada Undang-Undang Bolehkan Raja Petra Dibicarakan di UK...

PETALING JAYA: Tidak ada peruntukkan undang-undang yang membolehkan Kerajaan Malaysia membicarakan bloger Raja Petra Raja Kamarudin di Britain walaupun penulis itu sendiri mahukan begitu, demikian menurut Naib Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee.

Katanya, Raja Petra perlu dibawa balik ke Malaysia untuk dibicarakan. Dan untuk berbuat demikian, perlulah dilihat terlebih dahulu sama ada wujudnya perjanjian penyerahan balik (extradition) di antara kedua-dua buah negara.

Itu pun, kata Lim, bergantung kepada sejauh manakah Kerajaan Britain merasakan wujudnya keperluan untuk mereka menyerahkan Raja Petra kepada Kerajaan Malaysia. Salah satu daripada faktor yang biasanya akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Britain ialah sama ada orang yang mereka serahkan itu akan mendapat perbicaraan yang adil.

Hujung minggu lalu, Raja Petra telah muncul dalam satu forum di London dan mencabar Kerajaan Malaysia supaya membicarakannya di United Kingdom. Ini kerana katanya, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk membuktikannya bersalah dan bukanlah sebaliknya.

Raja Petra kini berhadapan dengan dua waran tangkap kerana gagal hadir pada perbicaraan yang melibatkan kes hasutan pada April dan Mei tahun lalu.

Dalam pada itu, peguam Norman Fernandez turut bersependapat dengan Lim bahawa Raja Petra memang tidak boleh dibicarakan di United Kingdom.

"Tidak ada peruntukkan yang membolehkan dia dibicarakan oleh Kerajaan Malaysia di United Kingdom. Dia bukanlah seorang penjenayah perang...," ujar Fernandez.

Oleh itu, kata Fernandez, kenyataan Raja Petra hanyalah untuk mempersendakan Kerajaan Malaysia selepas dia berjaya meloloskan diri keluar dari Malaysia.

Malah kata Fernandez lagi, tidak ada siapapun yang tahu apakah status Raja Petra di negara tersebut.

"Jika dia masuk dengan pas pelawat, bermakna kehadirannya di negara itu hanyalah terhad untuk waktu-waktu tertentu sahaja atau dia mungkin memasuki Britain dengan menggunakan dokumen khas atau sebagai seorang pelarian...," kata Fernandez lagi.

Artikel Lain