suria

Polis Lumpuh Sindiket Ah Long, Empat Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan satu sindiket Ah Long dengan tertangkapnya kesemua empat anggota sindiket itu berhampiran sebuah restoran di Pandan Perdana, Ampang di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata tangkapan kira-kira 10 pagi itu dibuat ketika mereka, yang berusia antara 24 dan 29 tahun itu, dalam perjalanan untuk menemui mangsa mereka.

"Tangkapan dibuat hasil laporan polis oleh seorang mangsa pada 20 Mei lepas yang mendakwa diugut selain dikenakan faedah pinjaman yang tinggi.

"Kesemua suspek itu ditahan di dalam sebuah kereta Toyota Vios berwarna perak di tepi jalan ketika dalam perjalanan untuk berjumpa dengan peminjam yang gagal membayar pinjaman mereka," katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga merampas lapan telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM1,424, empat bekas lutsinar berisi kad perniagaan dan 237 gulung kain rentang iklan pelbagai warna, satu buku cek bank serta tujuh keping kad mesin teller automatik (ATM) milik mangsa-mangsa sindiket itu selain kereta Toyota Vios berkenaan.

Abdul Jalil berkata hasil siasatan ke atas kesemua suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk mencederakan orang dengan menggunakan senjata.

Menurutnya suspek juga mengaku terlibat dengan kes-kes khianat dengan menyimbah cat ke rumah-rumah mangsa peminjam tetapi peminjam enggan membuat laporan polis.

"Suspek bukan sahaja mengugut mangsa yang meminjam dari mereka tetapi juga bertindak untuk mengugut akan mengancam keselamatan keluarga dan akan merosakkan harta benda milik mangsa," katanya.

Abdul Jalil berharap mangsa-mangsa yang enggan membuat laporan polis kerana takut dengan ugutan dari sindiket Ah Long tampil membuat laporan agar polis dapat melumpuhkan kegiatan sindiket seumpama itu.

Beliau berkata dengan tertumpasnya sindiket itu, polis percaya sekurang-kurangnya empat kes yang melibatkan Ah Long yang mengutip hutang dengan menggunakan kekerasan di daerah itu, dapat diselesaikan tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain