suria

Polis Klasifikasi Kematian Renjer Jabatan Hutan Kes Bunuh

SANDAKAN: Polis mengklafikasi kematian seorang renjer hutan Jabatan Perhutanan Sabah di Hutan Simpan Longmanis di Beluran 13 Mei lepas sebagai kes bunuh berikutan terdapat kesan tembakan pada mayat itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa berkata hasil keputusan bedah siasat mendapati ada kesan tembakan di sebelah kiri badan Alisius Piging Ampin, 51.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa individu telah dipanggil untuk memberi kenyataan bagi membantu siasatan kes itu. Setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Pada 12 Mei lepas, adik perempuan Alisius membuat laporan polis mengenai kehilangan abangnya ketika bertugas di hutan simpan itu sejak 7 Mei lepas.

Berikutan laporan itu, gerakan mencari dan menyelamat dilancar dan mayat Alisius ditemui pada keesokan harinya kira-kira dua kilometer dari pondok tempat dia bermalam, dalam keadaan lengkap berpakaian bersama sebuah beg pinggang mengandungi dompet serta kad pengenalan miliknya. - BERNAMA

Artikel Lain