suria

Pengawal Keselamatan Bebas Tuduhan Bunuh

PULAU PINANG: Seorang bekas pengawal keselamatan hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan membunuh seorang lelaki, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Zaki Mohd Yassin membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap J. Andrew, 37, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata keterangan saksi pendakwaan iaitu abang si mati, M. Mathanamogan bercanggah dengan laporannya kepada polis.

"Saksi pendakwaan itu gagal melepasi ujian kredibiliti dan kebolehpercayaan," katanya.

Andrew yang berasal dari Farlim, didakwa membunuh M. Masilahmathi dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah restoren nasi kandar di Lebuh Chulia di sini pada 6.45 pagi, 4 November 2005.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Andrew yang berbaju T berwarna hitam putih, melahirkan rasa gembira kerana dibebaskan dan bergegas pulang ke rumah untuk menemui isteri serta dua anaknya. - BERNAMA

Artikel Lain