suria

Khairy : Kenyataan Ketua Pemuda MIC Berbaur Ugutan

PETALING JAYA: Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin membidas sikap Ketua Pemuda MIC, T. Mohan kerana mengeluarkan kenyataan yang meminta partinya mengkaji semula keanggotaan dalam BN.

Khairy berkata, Mohan tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang berbaur ugutan kepada BN sebaliknya perlu memberi tumpuan bagi mengukuhkan hubungan sesama parti komponen.

"Saya menegaskan kepada saudara Mohan bahawa kenyataannya yang berbaur ugutan untuk keluar dari BN adalah tidak wajar sama sekali, tatkala parti-parti komponen sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan sesama sendiri menjelang Pilihanraya Umum ke-13," katanya di sini hari ini.

Khairy berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Mohan yang meminta MIC mengkaji semula kedudukan parti itu dalam BN.

Kenyataan Mohan itu ekoran daripada tuduhan yang dibuat oleh anggota Jawatankuasa Kerja MIC (CWC), S. Vell Paari semalam yang mengatakan Umno bertanggungjawab memecahbelahkan MIC.

Mohan juga mendakwa, perhimpunan yang akan diadakan di PWTC Ahad ini anjuran Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) telah dibuat atas nama Umno.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno bagaimanapun menegaskan pihaknya memandang serius berhubung tuduhan berkenaan.

"Saya telah menghubungi dan bercakap dengan saudara Mohan bahawa MIC perlu menghentikan tuduhan-tuduhan liar kononnya Umno menjadi dalang dalam gerakan menjatuhkan Presiden MIC.

"Pemuda Umno sekali lagi menyatakan bahawa Umno tidak terbabit sama sekali dalam kemelut MIC sepertimana yang dituduh oleh beberapa pemimpin parti tersebut," katanya.

Selain itu Khairy berkata, MIC perlu menyelesaikan segera masalah dalaman parti itu bagi mengukuhkan BN.

"Sekiranya MIC mempunyai sebarang krisis dalaman, maka ia merupakan masalah yang perlu cepat diselesaikan sendiri oleh MIC supaya kita dapat bersama-sama mengukuhkan BN," katanya.

Artikel Lain