suria

Keputusan Bekas CEO MIED Perlu Serah Pasport Ke Mahkamah 14 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 14 Jun untuk membuat keputusan berhubung permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya pasport antarabangsa bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) P. Chithirakala, diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Azizah Mahamud menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais dari SPRM dan Chithirakala, 39, yang mewakili dirinya sendiri.

Morais, dalam hujahannya berkata pada 11 Mei, iaitu hari Chithirakala dihadapkan ke mahkamah bagi tiga pertuduhan menipu, beliau tidak memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah berikutan bekas CEO itu telah memberikan kerjasama kepada pegawai penyiasat.

"Sehingga hari itu (11 Mei), SPRM tidak mempunyai alasan untuk impaun pasport beliau atau melarangnya pergi ke luar negara," kata Morais.

Bagaimanapun, Morais berkata keadaan itu berubah tiga hari kemudiannya (14 Mei) selepas SPRM menerima maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa tertuduh bercadang pergi ke Kolkata, India dan tidak berhasrat untuk pulang ke tanah air untuk menghadapi pertuduhannya.

Katanya berdasarkan maklumat yang diterima itu, pegawai penyiasat SPRM Fikri Ab Rahim membuat laporan yang mendorong SPRM memfailkan permohonan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Morais berkata Chithirakala dimaklumkan mengenai permohonan itu tetapi tetap meneruskan rancangannnya itu dan telah mengadakan sidang akhbar selepas pegawai imigresen menghalangnya meninggalkan negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 19 Mei.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Chithirakala, dalam afidavit balasannya, menyatakan yang beliau mahu mengunjungi kuil di Kolkata tetapi pada sidang akhbar itu beliau menyatakan "bercuti" sebagai alasannya.

"Percanggahan kenyataan Chithirakala telah menimbulkan syak di pihak kami mengenai lawatannya ke India dan responden juga gagal menjawab isu ini dalam afidavit balasannya," hujah Morais.

Mengenai isu mala fide (niat jahat), Morais menegaskan sekiranya SPRM memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sejak awal lagi, ia boleh dianggap berniat jahat tetapi SPRM hanya memfailkan permohonan itu selepas memperoleh maklumat daripada sumber berwibawa.

Pada 11 Mei, Chithirakala mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu bekas setiausaha agung MIC Tan Sri M. Mahalingam, 74, seorang pengarah dan penandatangan MIED Sdn Bhd, dengan merperdayakan beliau menandatangani dua keping cek, setiap satu bernilai RM1 juta dan sekeping cek bernilai RM2 juta.

Sementara itu, Chithirakala, yang memakai sari merah, memberitahu mahkamah beliau telah menulis surat kepada SPRM pada 10 Mei mengenai hasratnya melawat India dan pegawai suruhanjaya tidak membantah.

Katanya beliau juga tidak diberitahu memgenai maklumat identiti sumber yang dirujuk oleh SPRM itu kerana sumber itu dilindungi mengikut Seksyen 65, Akta SPRM 2009.

Chithirakala juga memberitahu mahkamah yang beliau masih tidak tahu kenapa pihak pendakwaan mahu pasportnya diserahkan kepada mahkamah sedangkan mereka tidak mengemukakan permohonan itu pada 11 Mei.

Sementara itu, dalam afidavit balasannya, Chithirakala turut menyertakan rekod lawatannya ke luar negara sejak 2006 di mana beliau telah melawat beberapa negara termasuk United Kingdom, Australia, Macau, Hong Kong, Kemboja, Vietnam dan India.

Tahun lepas sahaja, beliau melawat India sebanyak enam kali, khusus untuk tujuan keagamaan. - BERNAMA

Artikel Lain