suria

Keluarga Warga Myanmar Ditahan Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima sekeluarga warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah heroin di sebuah rumah teres di kawasan Pandan Mewah, Ampang pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata, ketika serbuan dilakukan pada kira-kira 8.30 pagi, pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan mereka itu sedang berehat di rumah itu.

"Dalam serbuan itu, kami merampas wang tunai berjumlah RM400, 69 ketulan yang dibalut plastik hitam dan 25 tiub straw berisi bahan yang disyaki dadah jenis heroin seberat 162.7 gram yang bernilai RM4,000.

"Sepaket ketulan itu dijual pada harga RM50 hingga RM90 manakala setiub straw itu dijual RM20," katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek itu yang berumur antara 15 dan 54 tahun itu, menetap di negara ini sejak setahun lepas dan dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak enam bulan lepas.

"Dadah itu dipasarkan ke kawasan sekitar Pandan Mewah dan Ampang dengan 70 peratus dijual kepada kalangan warga Myanmar dan 30 peratus kepada warga tempatan," katanya.

Abdul Jalil berkata, pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Mereka kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain