suria

Juruelektrik Tawar Derma Buah Pinggang Untuk Mohamed Izham

KANGAR: Pelajar cemerlang, Mohamed Izham Salim, 18, yang menghidap sakit buah pinggang pada tahap kronik dan terlantar di rumahnya di Kampung Tok Kuning di sini mendapat harapan baru apabila seorang juruelektrik tampil untuk menderma organnya jika sesuai dengan remaja itu.

Mohd Yusof Yaacob dari Pulau Pinang yang berhasrat mendermakan organnya itu telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Mahani Yusoff dan pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF) baru-baru ini.

Ketika ditemui pemberita di sini hari ini, juruelektrik berusia 20-an itu berkata, pada pertemuan dengan pihak HTF, dia dimaklumkan mengenai aspek prosedur dan undang-undang sebagai penderma dan implikasi pembedahan buah pinggang.

Katanya, dia diminta menghadiri satu pertemuan dengan pakar-pakar berkaitan buah pinggang di Putrajaya pada tarikh yang akan ditentukan.

Ibu bapa remaja itu, Salim Man, 77 dan Salasiah Hasan, 59, yang berhasrat mendermakan buah pinggang masing-masing gagal berbuat demikian kerana tidak sesuai.

Baru-baru ini media melaporkan nasib Mohamed Izham yang bakal mendaftar diri sebagai pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Julai ini yang terpaksa melupakan hasratnya untuk meneruskan pengajian kerana sakit buah pinggang yang dialaminya.

Satu daripada buah pinggang remaja itu sudah mulai reput manakala satu lagi sudah tidak berfungsi.

Keadaan itu menyebabkan remaja itu sangat berharap ada penderma buah pinggang yang bersimpati dengannya. Ketika ini dia terpaksa menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Mohamed Izham memperoleh keputusan 7A, 2B dan 1C pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009. - BERNAMA

Artikel Lain