suria

Hishammuddin Mahu Vell Paari Tunjuk Bukti

PUTRAJAYA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu ahli Jawatankuasa Kerja MIC (CWC), S. Vell Paari mengemukakan bukti yang menunjukkan Umno bertanggungjawab memecahbelahkan MIC ataupun memohon maaf di atas tuduhan tidak berasas itu.

Hishammuddin berkata, beliau bukan sahaja marah dengan kenyataan Vell Paari namun merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk menghentikan semua percubaan untuk menyalahkan Umno apabila timbulnya sesuatu masalah.

Jelasnya tuduhan-tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak bertanggungjawab namun ia merupakan satu percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai terhadap masalah dalaman MIC.

"Semua orang tahu bahawa individu yang menggesa supaya Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu meletak jawatan ialah individu yang diberi publisiti sebagai seorang calon yang berpotensi semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, dan semua orang tahu bagaimana MIC bertindak terhadap individu berkenaan.

"Jadi apa kena mengena dengan Umno jika individu berkenaan kini mengambil sikap atau pendirian yang tidak menyebelahi Presiden MIC?" katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tuduhan Vell Paari yang mengatakan Umno menjadi dalang kepada penubuhan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang ditubuhkan bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan.

Mugilan dipecat daripada parti minggu lalu kerana menggesa supaya Samy Vellu melepaskan jawatannya dengan segera atau selewat-lewatnya Disember ini.

Artikel Lain