suria

Gadis Bawah Umur Ikut 'Suami' Ke Lombok Selamat Pulang Ke Sarawak

KUCHING: Seorang gadis bawah umur, Steffanie Liana anak Langka, 15, dari Mukah selamat pulang ke Sarawak pagi ini selepas menempuh pelbagai pengalaman pahit ketika ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana memasuki negara tersebut secara tidak sah.

Steffanie atau nama Islamnya Liana Abdullah berasal dari Rumah Nangkai Nanga Maga Mukah dikatakan mengikut "suaminya" Tohri Jadi Jaya, 22, ke Lombok Timur 26 Mac lalu selepas mereka dikahwinkan secara Islam oleh seorang rakan Tohri di rumah panjang tempat Liana tinggal 10 Oktober tahun lalu.

"Selepas kami hidup bersama, saya yang tidak mempunyai MyKad dan pasport antarabangsa bersetuju dengan pelawaan Tohri untuk ke Lombok atas sebab untuk memperkenalkannya dengan keluarga Tohri di sana.

"Namun apabila sampai di sana saya telah berhadapan dengan pelbagai kesukaran hidup," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini hari ini.

Liana yang tiba pada pukul 1 pagi dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 9.00 pagi di KIA ditemani oleh Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh sebelum meneruskan penerbangan ke Sibu petang ini.

Katanya, dia berkahwin dengan Tohri, pemandu jengkaut di sebuah ladang di Mukah hanya selepas tiga hari berkenalan dan perkahwinan tersebut mendapat restu daripada neneknya.

Liana yang kini mengandung lima bulan bagaimanapun berkata, dia masih lagi sayangkan suaminya namun buat masa sekarang dia hanya mahu tinggal bersama keluarga di kampung dan terpulang kepada suaminya untuk datang ke Sarawak selepas ini.

Sementara itu, Muhd Khairun berkata, Liana yang tidak mempunyai dokumen peribadi yang lengkap berjaya dibawa balik ke Malaysia dengan kerjasama Jabatan Imigresen Indonesia dan Kedutaan Malaysia yang mengeluarkan Pas Perakuan Cemas.

Katanya, pada 27 Mac lalu ibu Liana, Dimah anak Ingai telah membuat laporan polis di Sibu mengatakan anaknya dilarikan ke Indonesia.

Berikutan itu pihaknya dengan kerjasama Pemuda Parti Rakyat Sarawak telah berhubung dengan Interpol dan Polis Republik Indonesia (POLRI) untuk mengesan Liana.

"Dengan kerjasama Interpol dan POLRI kami berjaya mengesan Liana sebelum membawanya ke Jakarta untuk dibawa balik ke Malaysia," katanya.

Menurut Muhd Khairun mengikut Akta Imigresen Indonesia, Liana boleh dipenjara enam bulan dan denda kerana memasuki negara tersebut secara haram. - BERNAMA

Artikel Lain