suria

Dua Lelaki Didakwa Sogok Polis Untuk Lepaskan Rakan

SEREMBAN: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan cuba memberi rasuah kepada seorang anggota polis bagi melepaskan tiga rakan mereka yang ditahan kerana menagih dadah.

Mun Kai Hui, 24, dan Tham Teck Heng, 31, dituduh melakukan kesalahan itu pada 4 pagi 23 Mei lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dengan cuba menyogok RM1,500 kepada Koperal Mohd Nasaruddin Mohd Shah dengan memintanya melakukan sesuatu untuk membebaskan tiga rakan mereka daripada lokap.

Ketika kes mereka disebut di hadapan Hakim Sabariah Atan, mereka berdua kelihatan tenang.

Mun dan Tham yang tidak tahu berbahasa Melayu membuat rayuan melalui penterjemah dan meminta kes mereka dibicarakan.

Hakim Sabariah kemudian menetapkan 21 Jun untuk sebutan semula dan membenarkan Mun dan Tham diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang. - BERNAMA

Artikel Lain